Shaklee Independent Distributor

Disclaimer: Produk ini tidak bertujuan untuk mendiagnos, merawat, menyembuh atau mencegah sebarang jenis penyakit


Saya merupakan pengedar Shaklee yang sah..Boleh dapatkan product Shaklee daripada saya dengan konsultation percuma sebelum dan selepas pembelian..saya membuat penghantaran ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Saya juga membuat penghantaran ke Brunei, Indonesia dan Singapura..

Saturday, 15 September 2012

Ajaibnya Protien

Keajaiban protein

SEBELUM ini anda mungkin sering mendengar bahawa protein adalah nutrien yang penting dan bermanfaat untuk kesihatan anak anda. Namun, tahukah anda bagaimana ia membantu pertumbuhan dan perkembangan?

Protein adalah sejenis nutrien yang melaksanakan pelbagai fungsi dalam tubuh kita. Ia membantu mata anak anda untuk melihat, mengecutkan otot dan pembekuan darah. Selain itu, ia membolehkan anak anda menjadi aktif dengan memudahkan tindak balas kimia melalui enzim dan melindunginya terhadap jangkitan. Tanpa protein, tulang, kulit dan rambut anak anda tidak akan mempunyai strukturnya.

Peranan penting protein

* Menggantikan sel-sel dan tisu yang mati atau rosak.

* Mengawal proses badan (sesetengah hormon tetapi bukan semuanya adalah protein).

* Mengekalkan jumlah dan komposisi cecair badan.

* Mengangkut bahan-bahan seperti lipid, vitamin, mineral dan oksigen ke seluruh badan.

* Melindungi badan terhadap penyakit melalui antibodi dan menguatkan sistem imun badan.

Sumber protein

Protein dalam diet kita boleh didapati daripada dua sumber utama iaitu protein haiwan (contohnya susu, telur, daging dan ikan) dan protein tumbuhan (contohnya bijirin, kacang, kekacang dan produk soya). Protein haiwan adalah lebih lengkap secara biologi daripada protein tumbuhan kerana protein haiwan mengandungi semua asid amino penting yang diperlukan oleh badan. Walaupun protein tumbuhan adalah protein yang tidak lengkap, ia adalah pengganti yang baik untuk daging atau protein haiwan. Tambahan pula, jika dua protein tumbuhan seperti kekacang dan bijian atau kekacang dan kacang/biji dicampur bersama, ia akan saling melengkapi dan membekalkan semua asid amino penting yang diperlukan untuk seseorang individu.

Panduan Diet Malaysia telah mengesyorkan bahawa anda:

1) Berikan anak anda ikan dengan lebih kerap, setiap hari jika boleh. Untuk mencapai matlamat ini, berikan anak anda satu hidangan ikan sehari. Kurangkan pengambilan kerang-kerangan berbanding dengan ikan.

2) Tingkatkan pengambilan susu dan produk tenusu anak anda. Susu bukan sahaja merupakan sumber protein yang penting, ia juga sumber yang kaya dengan kalsium dan vitamin. Satu gelas susu segar (250ml) mengandungi kira-kira 8.5 gram protein. Tambahkan susu yang kurang gula dalam oat dan bijirin anak anda. Yogurt dan keju juga merupakan sumber produk tenusu yang baik.

3) Berikan anak anda daging, ayam dan telur secara sederhana. Pilih pelbagai jenis daging dan gunakan kaedah yang berlainan untuk memasak hidangan ini. Berikan anak anda makan telur dalam jumlah yang sederhana, sebanyak sebiji telur sehari secara puratanya (sendirian atau dalam masakan). Elakkan daripada memberi telur putih kepada anak anda yang berumur 1 tahun atau ke bawah.

4) Amalkan cara memasak yang lebih sihat untuk ikan, daging, ayam dan telur. Kaedah memasak yang disyorkan termasuk mengukus, merebus, merenih, memanggang dan membakar. Lebihkan mengguna herba, rempah dan limau nipis atau lemon untuk menambah perisa kepada hidangan-hidangan ini daripada menggunakan garam atau sos pekat.

5) Pilih daging dan ayam yang rendah lemak dan kolesterol. Kurangkan pengambilan lemak tepu dengan memilih potongan daging dan ayam tanpa lemak. Buang kulit ayam dan lemak daging yang boleh kelihatan sebelum memasak.

6) Berikan anak anda kekacang setiap hari dan masukkan kacang dan bijian dalam dietnya setiap minggu. Kekacang seperti kacang pea, kacang dhal, kacang kuda, kacang soya dan kacang tanah mengandungi banyak protein dalam bijinya. Pilih pelbagai jenis kekacang serta produknya seperti tempe dan tofu untuk menyediakan makanan. Tambahkan kekacang dalam sup dan hidangan anak anda. Tambahkan kacang sebagai snek atau dalam hidangan utama seperti dalam sayuran tumis.

Berapa banyak protein yang anak anda perlukan?

Berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien Malaysia (RNI), jumlah pengambilan protein yang disyorkan untuk kanak-kanak berumur di antara 1 hingga 6 tahun ialah 17 hingga 23 gram setiap hari. Kanak-kanak di antara umur 7 hingga 12 tahun memerlukan kira-kira 32 hingga 46 gram protein setiap hari.

Keseimbangan

Walaupun protein adalah sangat penting dalam diet anak anda, anda perlu ingat bahawa keseimbangan nutrien (contohnya karbohidrat, lemak, vitamin, mineral dan protein) adalah penting untuk semua orang, terutamanya bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Untuk membina kekuatan, sel otot anak anda memerlukan aktiviti fizikal dan kesemua nutrien yang penting. Jika terlalu mengutamakan protein, anda mungkin tertinggal makanan dan nutrien lain yang juga sama penting.

Terlalu banyak atau terlalu sedikit dalam apa-apa jua perkara adalah tidak baik. Amalkan keseimbangan, kesederhanaan dan kepelbagaian dalam menyediakan makanan untuk pertumbuhan dan perkembangan yang baik.

l Artikel ini adalah sumbangan Program Positive Parenting oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dan disokong oleh geran pendidikan daripada Wyeth Malaysia Sdn. Bhd. Semua pendapat yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pandangan penulis. Sila layari laman web www.mypositiveparenting.org

Di pos oleh Arbain Muhayat pada 11 September 2012

No comments:

Post a Comment